PUTRAJAYA, 10 APRIL – KHABAR ANGIN… Ekoran peletakan jawatan mengejut menteri besar Johor hari ini, Adun Bukit Kepong dari Bersatu, Sahruddin Jamal, disebut-sebut bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Osman Sapian.

Khabar itu semakin bertiup kencang selepas Sahruddin hadir mewakili kerajaan Johor dalam pertemuan di antara pegawai kanan Malaysia dan Singapura di Putrajaya siang tadi.

Berusia 44 tahun Sahruddin kini diberi kepercayaan menjadi exco bagi portfolio kesihatan, alam sekitar dan pertanian Johor.

Dia juga baru kali pertama menjadi Adun bagi DUN yang terletak dalam kerusi parlimen Pagoh. Anggota parlimen Pagoh ketika ini ialah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Menurut paparan di Facebook Sahruddin adalah lepasan Universiti Hasanuddin dalam bidang perubatan. Difahamkan nama Sahruddin disebut antara wakil rakyat yang boleh diterima istana dan Bersatu Johor.

Sumber yang dekat dengan Istana Bukit Serene memberitahu, ada tiga nama yang menjadi pilihan iaitu Sahruddin, Mohd Khuzzan Abu Bakar dan Aminolhuda Hassan.

Untuk rekod, Khuzzan dan Aminolhuda juga exco Johor dengan masing-masing mewakili PKR dan Amanah.

“Walaupun disebut-sebut siapa yang akan menjadi menteri besar baru, Tuanku (Sultan Johor) hanya mempertimbangkan jika PH mengemukakan tiga nama.

“Alasannya ialah ketiga-tiga mereka sekarang anggota exco dan mewakili parti yang memenangi PRU ke-14 dulu,” katanya.

Osman ialah Adun Kempas yang dilantik sebagai menteri besar selepas PH menguasai majoriti kerusi dalam DUN Johor pada 9 Mei tahun lalu.

Peletakan jawatan Osman diumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semasa mengadakan sidang media di parlimen semalam.

Sementara itu sumber dalaman Bersatu Johor menyatakan ada nama lain dipertimbangkan termasuk Adun Tenang, Solihan Badri, Mohd Izhar Ahmad (Larkin) dan Mazlan Bujang (Puteriwangsa).

Ketiga-tiga mereka juga adalah Adun kali pertama.

Kata sumber, di sebalik beberapa nama yang dipertimbangkan, pilihan utama untuk menggantikan Osman ialah Sahruddin.

Sumber yang lain pula menyatakan selain Sahruddin, nama Solihan juga berada di kedudukan yang utama. – WD MY