MUAR, 8 Okt – Lupa Diri…..Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengakui kedudukan Barisan Nasional (BN) di Johor masih utuh walaupun kehilangan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh yang baru dilantik ke jawatan itu berkata, kerajaan Johor masih utuh dan masih mendapat majoriti ahli dewan.

“Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) kita masih boleh tadbir negeri Johor dalam keadaan baik, selamat dan selesa. Beliau akan terus mentadbir negeri ini seperti dilakukannya pada hari ini (walaupun kehilangan majoriti dua pertiga),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program bersama Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Shahruddin mengakui sudah melanggar Perlembagaan UMNO dan sedia dipecat daripada parti itu apabila menerima jawatan Setiausaha Agung di PPBM.

Katanya, ini kerana mana-mana ahli parti yang melanggar Perlembagaan UMNO akan dipecat seperti pernah berlaku kepada pemimpin UMNO yang melakukan kesalahan sama sebelum ini.

“Dengan perginya saya ke PPBM ini, secara automatik, saya juga melanggar Perlembagaan UMNO. Ramai dalam kalangan ahli UMNO yang melanggar Perlembagaan sudah dipecat dan saya faham mengenainya.

“Sehubungan dengan itu, saya kira bahawa (kerajaan UMNO dan BN) di DUN Johor sudah tidak mendapat majoriti dua pertiga dalam dewan,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY