PUTRAJAYA, 25 Nov – Perjelas….. Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) mentakrifkan ‘kesalahan keselamatan’ sebagai bukan sahaja terhad kepada kesalahan berhubung dengan keganasan tetapi turut meliputi takrifan lain.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata pihaknya amat prihatin terhadap pandangan dan persepsi masyarakat berhubung penahanan Maria Chin Abdullah di bawah SOSMA atau Akta 747 itu.

“Berhubung isu penahanan Maria, perlulah difahami bahawa Akta 747 adalah suatu undang-undang prosedur yang mengadakan peruntukan bagi langkah khas berhubung penangkapan, penahanan dan penyiasatan berkaitan kesalahan keselamatan bagi maksud mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Jabatan Peguam Negara ingin menjelaskan bahawa Seksyen 3 yang dibaca bersama Jadual Pertama Akta 747 mentakrifkan ‘kesalahan keselamatan’ sebagai bukan sahaja terhad kepada kesalahan berhubung dengan keganasan tetapi turut meliputi aspek lain.

“Ini termasuk kesalahan berkaitan kegiatan menjejaskan demokrasi berparlimen sebagaimana yang diperuntukkan di dalam seksyen 124C Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, penahanan Maria di bawah seksyen 4 Akta 747 yang bertujuan membantu siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dia disyaki terbabit dalam kegiatan menjejaskan demokrasi berparlimen, adalah teratur dari segi undang-undang.

Oleh yang demikian, katanya, Jabatan Peguam Negara akan memberi pertimbangan yang sewajarnya berdasarkan hasil siasatan yang akan dikemukakan PDRM kelak. – WD MY