ALOR GAJAH, 30 Okt – Pesat Membangun…… Timbalan  Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata  prasangka yang ‘dilukis’ oleh pihak tertentu
di Barat terhadap Islam adalah kerana agama itu sedang pesat membangun dan
paling cepat perkembangannya di dunia pada masa ini.

zahid-12
Beliau berkata pihak terbabit khuatir dengan perkembangan pesat Islam yang
kini mempunyai 1.8 bilion penganut di seluruh dunia, dapat memberikan kekuatan
kepada agama itu.
Katanya prasangka mengaitkan penganut agama Islam dengan kumpulan militan
seperti Daesh adalah langsung tidak tepat kerana berdasarkan kajian Pusat
Pemulihan Mohammed Alnaif, Arab Saudi mengatakan 87 peratus daripada pengganas
ini tidak mempunyai asas pendidikan agama yang kukuh.

“Kekuatan inilah (kekuatan Islam) yang menyebabkan prasangka ini berlaku,
maka kita harap orang Islam sendiri yang akan membetulkan imej ini supaya
prasangka itu diketepikan.

“Jangan harap agama lain atau orang lain yang membetulkan imej ini kerana
hanya orang Islam sendiri yang boleh membetulkan imej orang Islam,” katanya.

Ahmad Zahid berkata generasi baharu terutamanya yang lahir daripada sekolah
aliran keagamaan seperti Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab itu perlu memainkan
peranan penting dalam usaha memperbetulkan prasangka terhadap agama Islam.

Sehubungan itu, beliau berkata umat Islam perlu mempunyai asas dan
pendidikan agama formal yang kukuh bagi memperbetul imej tersebut serta tidak
terlibat dengan sebarang kegiatan radikal yang mengancam masyarakat dunia.

“Jika mempunyai ilmu agama kukuh dengan kombinasi akademik, dunia dan
akhirat, mereka tidak akan terlibat (dengan kegiatan radikal)…mereka
(pengganas) cari jalan singkat masuk syurga, tetapi tiada jalan singkat kerana
masuk (syurga) perlu melalui proses ibadah,” katanya. – WD MY