KUBANG PASU, 24 Mei – Lancar AKSEM….. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tiba di Bukit Kayu Hitam, di sini, sempena majlis pelancaran Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) pagi ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, tiba di Kompleks AKSEM Bukit Kayu Hitam kira-kira jam 10.25 pagi, dengan diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Yang turut mengiringi beliau ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Ahmad Zahid pada November lalu mengumumkan penubuhan AKSEM melalui penjenamaan semula dan penaiktarafan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) yang membabitkan pelbagai jabatan dan agensi melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Ahmad Zahid juga mengumumkan pelantikan SAC Datuk Mohamad Ismail sebagai
Ketua Pengarah AKSEM yang pertama.

Mohamad sebelum ini adalah Ketua Staf Pasukan Khas Kawalan Keselamatan Khas
Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Penubuhan AKSEM diumumkan Ahmad Zahid tahun lepas, dianggotai Polis Diraja
Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Antidadah
Kebangsaan dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.

Ahmad Zahid berkata, bagi mengelakkan berlaku sebarang masalah khususnya
kawalan keselamatan yang longgar di kawasan sempadan, pegawai dan anggota di
sempadan akan ditukarkan tiga hingga enam bulan sekali.

“Kita tahu akan jadi masalah kepada keluarga, tapi ia mungkin boleh
diatasi.. Soal keselamatan tidak boleh dikompromi,” katanya.

AKSEM berkuat kuasa secara pentadbiran bagi mengukuhkan pengurusan sempadan dan menangani ancaman jenayah rentas sempadan. – CF (WD MY)

LEAVE A REPLY