PUTRAJAYA, 8 Jun – Selaras…… Sudah sampai masanya Agensi Keselamatan Siber Negara (NCSA) menjadi agensi tunggal menyelaras semua agensi berkaitan ancaman keselamatan siber dengan meletakkan pakar keselamatan siber di bawah satu agensi induk, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada dasarnya, NCSA mula berkuat kuasa pada 1 Februari lalu di Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri dengan mengguna pakai undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, Akta Fitnah 1957 dan Akta Hasutan 1948.

Bagi memantapkan lagi strategi pengurusan keselamatan siber negara, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Mengenai NCSA yang dipengerusikan beliau hari ini membincangkan secara khusus kertas pertimbangan daripada MKN iaitu Pelaksanaan Keputusan Jemaah Menteri Mengenai NCSA.

“Perkara yang dibincangkan adalah pengoperasian Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara digunakan oleh NCSA dan penempatan NCSA dari aspek logistik serta ruang pejabat diletakkan di bangunan Maskas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Pulau Meranti, Puchong.

“Selain itu, waran perjawatan bagi pegawai dan staf serta peruntukan kewangan yang terbabit dengan segala urusan pengoperasian NCSA diperincikan,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat berkenaan di Perdana Putra di sini.

Ahmad Zahid berkata, penubuhan NCSA di bawah tanggungjawab MKN yang diputuskan Kabinet pada 20 Januari tahun lalu adalah komitmen serius kerajaan dalam menangani ancaman siber yang datang dalam pelbagai bentuk. – WD MY