MARAN, 1 JUN – BERI…. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mahu warga peneroka FELDA memberi peluang kepada pihak pengurusan baharu memperbaiki kelemahan yang masih ada.

Baginda bertitah, keadaan semasa harga komoditi itu bukanlah disebabkan salah mana-mana pihak, tetapi bergantung kepada keadaan pasaran semasa global.

“Saya percaya kerajaan (Persekutuan) hari ini dan kerajaan negeri sedang berusaha mencari jalan memperbetulkan keadaan bagi meningkatkan kembali imej serta pendapatan peneroka.

“Buat masa ini, saya meminta semua warga peneroka bersabar dan mengambil semangat Ramadan yang menuntut kita banyak bersabar.

“Sebenarnya harga kelapa sawit ini sama sahaja dengan harga getah atau komoditi lain yang bergantung sepenuhnya kepada ‘cycle’ atau kitaran (harga) pasaran dunia, jadi kita berilah mereka (peluang),” titah baginda selepas selesai menunaikan solat Maghrib pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Masyarakat Daerah Maran di Masjid FELDA Jengka 5, dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 220 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim dan mereka yang kurang berkemampuan.

Baginda bertitah, warga peneroka FELDA sangat dekat dengan ahli keluarga Baginda sejak zaman Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan sebelumnya lagi.

Titah baginda, kerajaan juga sedang berusaha mengembalikan kegemilangan FELDA dan percaya semuanya akan pulih tidak lama lagi.

“Warga (peneroka) FELDA bukanlah asing kepada saya dan Almarhum Paduka Ayahanda, jadi saya harap semuanya akan kembali pulih tidak lama lagi dengan usaha berterusan yang sudah dan sedang dilakukan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ketika ini,” titah baginda.

Baginda turut bertitah agar kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi membuka ruang kepada semua pihak agar dapat mempereratkan hubungan silaturahim dan meminggirkan perbezaan fahaman politik masing-masing. – WD MY