KUALA LUMPUR, 25 Okt – Tidak Terlepas……… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran mana-mana ahli Parlimen tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika mereka menjadi penaung pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengancam keselamatan negara.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak memilih ‘warna dan bulu’ walaupun jika ada dalam kalangan ahli Dewan Rakyat menjadi penaung pertubuhan yang mengancam keselamatan negara.

“Kita tahu ada yang bertopengkan badan keagamaan, kuil, tokong dan ada juga menggunakan surau serta masjid …ia berada di luar kepompong yang boleh kita fikirkan semata-mata demi kepentingan mereka.

“Pihak kerajaan tidak akan berkompromi jika ada antara mereka mengambil tindakan di luar batasan, saya berjanji selagi memegang portfolio menteri keselamatan negara, saya akan buat yang terbaik demi kepentingan rakyat,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hassan Malek (BN-Kuala Pilah).

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Hassan mengenai NGO yang terbabit operasi kongsi gelap, Ahmad Zahid berkata, 72 NGO yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dikenal pasti bergerak sebagai kongsi gelap dua tahun lalu.

Katanya, 49 pertubuhan dikesan bergerak sebagai kongsi gelap pada tahun 2013, manakala 23 lagi dikenal pasti pada tahun lalu.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mewartakan semua pertubuhan haram berkenaan mengikut Warta Kerajaan Persekutuan berhubung Perintah Pertubuhan Menyalahi Undang-Undang 2015.

“Mana-mana pertubuhan diwarta itu tidak boleh menggunakan nama, simbol dan logo pertubuhan mereka.

“KDN akan terus memantau dan mengawal selia operasi pertubuhan serta NGO yang berdaftar dan tidak berdaftar di negara ini bagi memastikan mereka tidak menjejaskan keselamatan, mengelak pemasalahan serta kegiatan jenayah atau yang mewujudkan unsur berbentuk kebencian kaum dan agama,” katanya menjawab soalan pertama sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab satu lagi soalan tambahan Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) mengenai tindakan ke atas NGO yang berdaftar mengancam keselamatan negara, Ahmad Zahid berkata, tindakan bukan hanya tertakluk kepada Akta Pertubuhan 1966 saja tetapi kerajaan boleh menguatkuasa undang-undang lain berkaitan.

“Keselamatan negara menjadi keutamaan, tunggu masanya kita ambil tindakan dan jangan kata kerajaan menzalimi mereka,” katanya. – WD MY