KUALA LUMPUR,JULAI 5: LEPASKAN…. Presiden, UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secara tegas menyifatkan ahli Parlimen yang meninggalkan parti tersebut sebagai tidak bermaruah.

Ahmad Zahid berkata, hal ini kerana kemenangan yang diraih mereka bukan disebabkan oleh kapasiti individu, sebaliknya ke­rana bantuan parti serta ahli akar umbi.

Di samping itu, beliau turut menyokong penuh desakan yang dilakukan oleh ketua-ketua sayap supaya ahli Parlimen terbabit melepaskan jawatan.

“Jika mereka merupakan ahli Parlimen yang bermaruah, mereka haruslah meletakkan jawatan dan sanggup menghadapi pilihan raya kecil jika diadakan.

“Seharusnya mereka berla­pang dada dan berfikiran terbuka, bukan melayani permasalahan peribadi yang sedang dihadapi oleh mereka dan membalikkan permasalahan itu seolah-oleh tidak yakin kepada UMNO,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyua­rat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pertama di Menara Dato Onn, di sini semalam.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Sungai Kandis, Ahmad Zahid berkata, perkara tersebut akan dibincangkan bersama rakan komponen lain dan maklumat lanjut mengenainya akan dimaklumkan kelak.

“Kita (dalam mesyuarat MT) sudah bincangkan berkenaan pilihan raya Sungai Kandis dan sebarang keputusan akan diberikan pada hari yang sesuai,” katanya.

Menyentuh tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Kedah menyokong pelantikan Speaker dalam kalangan calon Pakatan Harapan (PH), Ahmad Zahid menjelaskan, perkara tersebut dibuat atas restu parti.

“Mereka mengambil keputu­san berkenaan setelah Badan Perhubungan UMNO negeri Kedah merestuinya dan tentu keputusan itu adalah keputusan yang dibuat oleh parti,” katanya.-MY WD