KUALA NERUS,KELANTAN 16:SUMBANG… Sejumlah RM2.1 juta sudah dibayar sebagai kos guaman kes saman Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, terhadap pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata wang berkenaan adalah hasil sumbangan ahli manakala pembayaran dibuat sejak 30 November 2016 sehingga Jun lalu.

“Daripada rekod, kita membayar yuran guaman bermula 30 November 2016 hingga Jun 2018 daripada jumlah kutipan yang dimasukkan ke dalam satu akaun PAS berjumlah £355,550.82.

“Jumlah itu bersamaan RM2,117,870.85 dan peguam sudah menghantar bil kepada Abdul Hadi yang belum kita bayar berjumlah £25,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi penjelasan berhubung penyata kira-kira tahunan PAS sempena Muktamar PAS ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, hari ini.

Isu berkenaan dibangkitkan perwakilan PAS Temerloh yang ingin mengetahui jumlah kutipan sumbangan bagi membiayai kes terbabit.

Takiyuddin berkata, kes itu tidak membabitkan PAS kerana ia difailkan oleh Hadi atas kapasiti peribadi.

“Isu Sarawak Report bukan asing, namun saya ingin tegaskan ia adalah antara Abdul Hadi Awang melawan Rewcastle Brown.

“Sumbangan ahli itu dibuat atas dasar solidariti sebagai tanda sokongan terhadap Presiden PAS,” katanya.-MY WD