TAIPING, 3 Ogos – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun
Hussein mengingatkan anggota UMNO agar bersikap rasional apabila berhadapan
dengan pelbagai isu serta cabaran dalam parti.

Menurut beliau, anggota UMNO perlu meletakkan agenda parti sebagai keutamaan
dan perlu membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam menangani isu semasa yang
berlaku.

“Ahli UMNO diminta merapatkan barisan untuk menghadapi pelbagai cabaran
dalam parti.

“Bukan mudah untuk menjadi seorang pemimpin pada era ini kerana banyak pihak
yang cuba untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya.

Hishammuddin berkata demikian dalam ucapan pada majlis perasmian Mesyuarat
Perwakilan UMNO Bahagian Taiping kali ke-27 di sini.

Menteri Pertahanan itu berkata parti UMNO sebelum ini pernah berhadapan
dengan isu serta cabaran.

“Sebelum ini Tun Dr Ismail (Abdul Rahman) tidak sehaluan dengan Tunku Abdul
Rahman (Putra Al-Haj) dan meletakkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri,
ini sama seperti Tun Musa Hitam.

“Datuk Onn (Jaafar) ditolak oleh orang Johor dan mengumumkan keputusan untuk
mengundurkan diri, begitu juga perkara dalam melaga-lagakan parti, oleh sebab
itu apa yang penting adalah kebijaksanaan UMNO dan dalam apa juga keadaan
perkara paling penting adalah parti,” katanya.

Hishammuddin berkata UMNO perlu mencari kaedah terbaik dalam menyelesaikan
masalah dan kepimpinan UMNO akan terus membantu di setiap bahagian bagi mencari
jalan damai atas apa yang berlaku.

Dalam pada itu, beliau berkata menjadi hak seorang perdana menteri untuk
melantik dan menggugurkan sesiapa sahaja yang beliau rasakan sesuai bagi
mengukuhkan parti dan kerajaan.

“Sebagai ahli, (kita perlu) akur dan menerima setiap perubahan yang
dilakukan dengan hati terbuka.

“Cara untuk menangani perkara itu juga bukanlah satu perkara mudah tetapi
itulah cara pimpinan UMNO memimpin dalam keadaan hari ini,” katanya.

Beliau berkata suasana serta persepsi rakyat bergantung dengan apa yang
dilaporkan oleh media sosial, dan bukanlah sesuatu yang mudah untuk menjawab isu
sebegini. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY