ALOR SETAR, 22 Mei – Janji Bawa Perubahan….. Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yakin berupaya merealisasikan segala perancangan untuk rakyat Kedah termasuk projek mega, Bandaraya Getah dalam tempoh berbaki dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Janji itu diberi menerusi Amanat 100 hari pentadbirannya sebagai Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.

Ahmad Bashah yang dilantik sebagai Menteri Besar pada 4 Februari lalu berkata, sebuah jawatankuasa induk akan ditubuhkan bagi memastikan semua perancangan dilaksanakan.

Selain Bandaraya Getah, katanya, projek berskala besar yang dirancang termasuk Kedah Aerocity, New Kedah Expressway, Taman Warisan Lembah Bujang, litar lumba dan hab Maahad Tahfiz serta pondok pengajian agama.

“Dengan kerjasama semua, kita boleh mengubah wajah Kedah dan saya yakin merealisasikan perancangan dalam tempoh terdekat jika kita bersama.

“Ia boleh dilaksanakan jika kita mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.

“Pada masa sama, saya mengajak rakyat bermuafakat untuk melaksanakan agenda ini,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Bashah melancarkan aplikasi Kedah Apps untuk memudahkan maklumat, aduan dan hebahan peluang pekerjaan di Kedah.

Beliau turut melancarkan logo Muafakat Kedah iaitu slogan rasmi yang digunakan kerajaan negeri. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY