SUNGAI PETANI, 29 Jun – Semakin Sihat……. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang bercuti panjang akibat komplikasi usus dihidapinya, dijangka kembali bertugas Ahad ini.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, ketika ditanya mengenai perkembangan Ahmad Bashah selepas dibenar meninggalkan Hospital Pulau Pinang (HPP) sejak Khamis minggu lalu.

“Beliau (Ahmad Bashah) sudah sihat, namun masih berehat kerana dinasihati doktor supaya memulakan kembali tugasan secara perlahan.

“Datuk Seri (Ahmad Bashah) akan mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman pada Ahad ini, selain menghadiri beberapa aktiviti lain yang disusun mengikut kemampuan dan keupayaan beliau,” katanya ketika ditemui sempena Program Muafakat Soq Mahasiswa Kedah 2016 di Dataran Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) sebentar tadi.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah itu pitam ketika menghadiri mesyuarat di Hotel Grand Alora, di sini, pada 4 Jun lalu sebelum dikejarkan ke Kedah Medical Centre dan dirujuk ke HPP pada hari berikutnya.

Sepanjang berada di HPP, Ahmad Bashah turut menjalani pembedahan membuang sebahagian usus besarnya yang menyebabkan pendarahan. – WD MY

LEAVE A REPLY