BAGAN DATUK, 28 APRIL – ARAH….. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan polis supaya menjalankan siasatan berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa pesawat yang dinaiki untuk ke Langkawi petang semalam disabotaj.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau berkata sebagai Menteri Dalam Negeri juga pihaknya turut meminta polis untuk tidak memihak siapa sahaja dalam menjalankan siasatan.

“Semalam saya diberitakan bahawa Tun Dr Mahathir, pesawat yang dinaiki beliau ke Langkawi berlaku kebocoran tayar dan beliau mendakwa ada pihak yang sabotaj.

“Begitu juga apabila beliau (Dr Mahathir) apabila sudah menukar pesawat ada pihak yang menyekat supaya penerbangan tidak dapat dibuat.

“Saya ingin beritahu sebagai menteri yang jaga KDN (Kementerian Dalam Negeri) saya sudah arahkan polis untuk tidak memihak sesiapa sahaja dan menterjemah makna demokrasi dengan menjaga semua pihak dan kita tidak mahu sabotaj dilakukan kepada mana-mana calon,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan borang pencalonannya di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk (SABDA) hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap Dr Mahathir dan berharap ia tidak dilakukan pihak tertentu yang cuba untuk menghalang beliau untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.

Katanya, untuk itu pihaknya akan memastikan semua agensi penguatkuasaan memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pihak termasuk Dr Mahathir.

“Diharapkan apa yang dinyatakan itu bukanlah satu realiti yang perlu dihadapi mana-mana calon yang bertanding,” katanya. – WD MY