ISTANBUL, 21 Okt – KETUAI…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau berasa teruja kerana suara Malaysia dihormati dan malahan Malaysia bakal mengetuai kumpulan itu selama empat tahun bermula 1 Jan 2018 apabila bekas Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari akan menyandang jawatan Setiausaha Agung D-8 yang baharu.

Beliau berkata bahawa cadangan Malaysia supaya sektor pelancongan dipertingkatkan dalam kalangan anggota D-8 turut diterima dalam resolusi persidangan.

Ahmad Zahid yang mengetuai delegasi Malaysia pada sidang kemuncak berkenaan berkata selain itu Malaysia juga akan meneliti cadangan Turki untuk menambahkan komposisi keanggotaan kumpulan D-8 bagi membolehkan lebih banyak negara mendapat manfaat.

 

“MUNGKIN PADA MASA DEPAN DITAMBAH SEHINGGA KE 20 NEGARA BAGI MEMBERIKAN RUANG YANG LUAS KEPADA NEGARA-NEGARA YANG MENJADI PEMERHATI SELAMA INI UNTUK TURUT SERTA DALAM JALINAN KERJASAMA EKONOMI DAN PERDAGANGAN,” KATANYA.

 

Timbalan Perdana Menteri berkata negara-negara anggota D-8 juga sedang menimbang saranan supaya kaedah sebulat suara seperti amalan sekarang tidak lagi diguna pakai dalam membuat keputusan sebaliknya cukup sekadar persetujuan yang berasas kepada suara majoriti.

“Dalam hal ini, Wisma Putra akan meneliti sepenuhnya cadangan itu,” katanya.

Ditubuhkan pada 15 Jun, 1997, D-8 ialah sebuah organisasi untuk kerjasama dalam sektor ekonomi lapan negara membangun terdiri daripada Turki, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Nigeria, Pakistan dan Malaysia. – WD MY