PUTRAJAYA, 29 Julai – Berbekalkan pengalaman lebih 30 tahun di dalam dunia politik dan
turut berpengalaman luas dalam perniagaan perbankan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang
diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu merupakan pilihan yang sesuai
dan tepat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau, yang turut kekal sebagai Menteri Dalam Negeri dalam barisan Kabinet
baharu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang diumumkan hari
ini, telah juga menyandang beberapa jawatan lain dalam pentadbiran kerajaan
sebelum ini.

Ahmad Zahid berkelulusan PhD-Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), serta
anak kelahiran Bagan Datoh, Perak, mula menjadi anggota Kabinet sebagai Menteri
di Jabatan Perdana Menteri (2008-2009) semasa pentadbiran Perdana Menteri
Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau kemudian menyandang jawatan Menteri Pertahanan (2009-2013) sebelum
bertukar ke portfolio sekarang sebagai Menteri Dalam Negeri sejak 16 Mei 2013.

Sebelum menjadi anggota kabinet, beliau pernah berkhidmat dalam
pertadbiran kerajaan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan pada tahun 2004 dan
Timbalan Menteri Penerangan (2006-2008).

Hubungan kerja antara Ahmad Zahid dengan Najib telah agak lama terjalin
kerana beliau pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Najib semasa
Perdana Menteri pada ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan dan Menteri
Pertahanan (kesemuanya dari 1987-1993).

Sebelum daripada itu beliau telah dilantik sebagai anggota Dewan Negara
selama satu penggal dari tahun 1991 hingga 1994.

Beliau mula bergiat aktif dalam politik apabila dipilih sebagai Ketua
Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Bagan Datoh pada 1984 dan dari sini, beliau
terus mendaki tangga dalam perjuangan politik UMNO peringkat nasional sehingga
berjaya terpilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia (1996-1999).

Kerjaya politik beliau kian menyinar apabila terpilih sebagai anggota Majlis
Tertinggi UMNO selama dua penggal iaitu bagi 2000-2003 dan 2004-2007.

Ahmad Zahid dipilih sebagai seorang daripada tiga Naib Presiden
UMNO selama dua penggal iaitu pada 2008-2011 dan 2013-2016.

Beliau telah dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh sejak 1995 dan
mengekalkan jawatan itu sehingga sekarang.

Sebelum menceburi bidang politik, Ahmad Zahid pernah menceburi sektor
perbankan dan berkhidmat di beberapa bank seperti OCBC sebagai pegawai bank
(1976-1977), di Bank Simpanan Nasional (BSN) sebagai penolong pengurus
(1977-1979) dan di Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai pengurus pemasaran
Amanah Saham Nasional (ASN) (1979-1984).

Pengalaman luas beliau dalam bidang perbankan itu telah kemudian membawa
beliau dilantik sebagai Pengerusi Bank Simpanan Nasional dari tahun 1994 hingga
1999 dan pernah dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad
(SPNB) pada 2000.

Ahmad Zahid mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai
Balai, Rungkup sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Agama Izuddin
Shah, Ipoh dan Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di
Universiti Malaya (UM) pada tahun 1976.

Ahmad Zahid memperoleh ijazah Sarjana Sains (Komunikasi Korporat) pada tahun
2000 dan kemudiannya ijazah doktor falsafah PhD-Komunikasi dari UPM.

Hasil perkongsian hidupnya dengan Datin Seri Hamidah Khamis, 60, mereka
dikurniakan dua puteri Nurulhidayah, Nurulizawani dan tiga putera, Ahmad
Khairul Hafies, Ahmad Syafiq Hazieq, Ahmad Asyraf Arief.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, beliau telah mengekalkan
kerusi Parlimen Bagan Datoh untuk penggal kelima selepas menewaskan Madhi Hasan
(Parti Keadilan Rakyat) dengan majoriti 2,108 undi. Dr Ahmad Ahmad Zahid
memperoleh 17,176 undi. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY