BAGAN DATUK, 28 April – PARLIMEN…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berdepan pertandingan tiga penjuru bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ‪9 Mei‬ ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu yang merupakan penyandang kerusi berkenaan selama enam penggal sejak 1995 berdepan calon PKR Pakhrurrazi Arshad dan Ata Abdul Muneim Hasan Adli (PAS).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Bagan Datuk Hamzah Husin mengesahkan pencalonan mereka dan membuat pengumuman itu di hadapan penyokong ketiga-tiga calon.

Ibrahim Mat Zin atau Raja Bomoh yang sebelum ini mengumumkan akan turut bertanding kerusi itu, tidak kelihatan sehingga tamat proses penamaan calon pada 10 pagi.

Dalam sidang media selepas itu, Ahmad Zahid memberitahu bahawa Raja Bomoh tidak bertanding kerana muflis.

Terdahulu, timbalan perdana menteri menyerahkan kertas penamaan calon beliau di pusat penamaan calon di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh di sini pada 9 pagi.

Beliau ditemani pencadang yang juga Ketua MIC Bagan Datuk R. Supramaniam dan penyokong pencalonan, Pengerusi MCA Bagan Datuk, Ang Kim Chong @ Ang Poon Beng.

Sebelum itu, Ahmad Zahid yang berbaju Melayu berwarna biru tua diiringi calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya dan calon kerusi DUN Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi tiba di pusat penamaan calon pada 8.40 pagi.

Ketiga- tiga calon BN itu bersama kira-kira 5,000 penyokong berarak dari tapak pembinaan Teedo Resort di sini ke pusat penamaan calon.

Pada PRU13, Ahmad Zahid menewaskan calon PKR, Madhi Hasan dalam pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 2,108 undi.

Sementara itu, Shahrul Zaman yang dalam misi mempertahkankan DUN Rungkup akan berdepan pertandingan tiga penjuru dengan Hatim Musa (PKR) dan Mohd Mohkheri Jalil (PAS).

Calon DUN Hutan Melintang Timbalan Ketua Bahagian UMNO Bagan Datuk, Datuk Khairuddin Tarmizi akan ditentang calon PKR, G. Manivannan dan Mohd Misbahul Munir Masduki (PAS).

Pada PRU13, Shahrul Zaman menang kerusi DUN Rungkup dengan  majoriti 613 undi, manakala kerusi DUN Hutan Melintang dimenangi calon PKR S. Kesavan, yang kini beralih bertanding kerusi Parlimen Sg Siput, dengan majoriti 1,240 undi. – WD MY