PUTRAJAYA, 25 Julai – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan media dikeluarkan lewat Sabtu memberi peringatan bahawa tindakan boleh diambil menerusi pelbagai saluran rasmi walaupun individu itu berada di luar negara.

Susulan pengakuan beberapa pihak yang mengesahkan pernah ada pertemuan dengan indvidu asing bagi mensensasikan isu 1MDB.

Ini termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh memohon kerjasama daripada polis di negara terbabit bagi proses ekstradisi terhadap individu berkenaan ke Malaysia untuk diadili mengikut undang-undang negara ini.

Beliau merujuk kepada campur tangan individu warga asing terhadap urusan dalaman negara ini termasuk penglibatan pengendali portal Sarawak Report, Clare Brown yang sering memburukkan kepimpinan negara.

“Jika terdapat unsur-unsur jenayah dilakukan oleh Claire, bilateral atau hubungan dua hala dalam bentuk pertukaran maklumat risikan sudah sedia terjalin antara pihak berkuasa Malaysia dan Britain,” jelas Ahmad Zahid.

Justeru, jika siasatan muktamad membuktikan wujud elemen jenayah, pihak PDRM selain Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan berurusan secara rasmi melalui Wisma Putra untuk berhubung dengan kerajaan Britain.

“Sekiranya terdapat ‘prima facie‘, Kerajaan Malaysia akan melakukan tindakan perundangan terhadap Claire memandangkan kerjasama antara PDRM dan Scotland Yard di Britain sudah sedia lama terjalin,” kata beliau.

Ahmad Zahid malah memberi jaminan, hubungan erat pasukan polis dua negara terbabit sejak sekian lama akan memudahkan segala tindakan susulan segera dibuat bagi melakukan ekstradisi jika diperlukan bila-bila masa.

“Sebagaimana prinsip ‘kedaulatan’ yang dihormati antara negara, sudah pasti pihak kerajaan British tidak merestui mana-mana individu waima warganegaranya mencampuri urusan dalaman negara lain,” tambahnya.

Biarpun kebebasan pendapat dan bersuara ujar Ahmad Zahid, amat diraikan oleh kerajaan Malaysia, namun sebarang maklumat yang sengaja dipinda dan diada-adakan sebenarnya adalah tidak boleh diterima sama sekali.

“Apatah lagi jika paparan berita atas talian oleh Clare terbukti ada niat jahat,” tegas beliau merujuk laporan akhbar The Straits Times (ST) di Singapura pada Jumaat mengenai plot bagi menggulingkan kerajaan oleh pihak asing.

Wawancara eksklusif ST dengan bekas staf syarikat PetroSaudi International, Xavier Andre Justo yang ditahan polis Thailand mendedahkan suspek pernah memeras ugut bekas majikannya konon memiliki dokumen rahsia.

Warga Switzerland itu turut mengaku pernah bertemu Clare selain tokoh bisnes dan politik Malaysia berhubung pertukaran dokumen kononnya bukti penyelewengan 1MDB yang sebenarnya adalah palsu. -Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY