SAMARAHAN, 16 April – Berkampung Selama 12 Hari…… Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan berkampung di Sarawak sepanjang tempoh berkempen hingga pengundian pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11).

Ahmad Zahid berkata, beliau akan bergerak di seluruh negeri dalam tempoh itu bagi membantu Barisan Nasional (BN) Sarawak meraih kemenangan besar.

“Saya juga akan memastikan Tan Sri Adenan Satem akan terus diberi mandat untuk menjadi Ketua Menteri.

“Sebab itu, saya akan berkampung di Sarawak bermula 25 April ini hingga 7 Mei nanti,” katanya berucap pada majlis perasmian Program Sejiwa Senada yang dihadiri lebih 8,000 penduduk.

Turut hadir Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan isteri, Puan Sri Jamilah Anu; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; serta beberapa Menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.

Katanya lagi, rakyat Sarawak bertuah kepada memiliki Ketua Menteri seperti Adenan yang memiliki kualiti sebenar pemimpin berjiwa rakyat.

“Saya tidak pernah melihat mana-mana Ketua Menteri mahupun Menteri Besar di Semenanjung yang sampai sahaja ke majlis akan terus menyanyi menghiburkan orang ramai yang hadir.

“Ini keistimewaan pemimpin Sarawak, beliau bukan sahaja mesra rakyat, malah tegas melaksanakan dasar untuk kepentingan rakyat dan dalam keadaan ini, pemimpin yang macam mana lagi kita mahukan,” katanya. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY