SIBU, 31 Jan – Kompia, sejenis kuih tradisional masyarakat Foochow, menjadi hidangan istimewa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada lawatannya di Pasar Sentral, di sini, pagi tadi.

Beliau menikmati kuih itu ketika bersarapan pagi bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Wong Soon Koh dan orang ramai di Muslim Cafe yang terletak di tingkat atas pasar berkenaan.

Turut dihidangkan kepada tetamu istimewa itu beberapa kuih tempatan yang popular di Sibu antaranya pulut panggang sambal udang kering, sagu dan udang kering, buih bungkor serta rojak tambi.

Ahmad Zahid meluangkan masa kira-kira┬ádua jam melawat sekitar pasar berkenaan yang terbesar di negara ini yang memuatkan 1,100 gerai tetap selain 200 hingga 250 “tamu” atau gerai penjaja pribumi kalangan masyarakat Iban, Melayu dan Melanau.

Ketika meninjau pasar berkenaan, beliau berkesempatan beramah mesra dengan penjaja kecil dan membeli buah-buahan tempatan seperti dabai, isau dan petai.

Turut mengiringi lawatan Ahmad Zahid yang tiba di pasar berkenaan pada jam 8.30 pagi ialah Residen Bahagian Sibu, Hii Chang Kee.

Orang ramai yang sedang membeli barangan keperluan di pasar berkenaan ternyata teruja dengan kehadiran beliau malah ada yang tidak menyangka, pemimpin nombor dua negara berada di pasar yang terletak di tengah bandar Sibu itu. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY