LONDON, 9 Nov – Adakan Pertemuan……Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan anggota Parlimen UK di sini, berbincang mengenai beberapa langkah yang harus diambil oleh kerajaan UK apabila mereka berada di luar Kesatuan Eropah (EU) kerana mereka mahu hubungan perdagangan dan kerjasama pelbagai aspek terus terjalin dan diperkukuhkan antara Malaysia dan negara ini.
Menurut Ahmad Zahid, para anggota Parlimen itu menyuarakan kebimbangan mereka
tentang kemungkinan kumpulan-kumpulan pengganas dari pelbagai negara di ASEAN
bergabung dalam kumpulan kerjasama dalam kegiatan di rantau itu.
“Mereka khuatir rantau ASEAN turut terjejas dengan kegiatan keganasan kerana
kumpulan itu mahu membentuk kesatuan negara Islam di nusantara ataupun kepulauan
Melayu.
“Ini tentunya akan mengganggu gugat perjanjian sedia ada dalam Peraturan
Pertahanan Lima Negara (FPDA) antara Malaysia, UK, Australia, Singapura dan New
Zealand,” katanya.
zahid-mkn-mlm
Namun, Ahmad Zahid berkata UK komited untuk meneruskan latihan dan rondaan
bersama dengan kelima-lima negara yang terlibat dalam perjanjian pertahanan
itu.
Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia juga akan membuat persiapan mulai
sekarang untuk menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Negara
Komanwel (CHOGM) pada tahun 2020, dengan mengambil langkah-langkah bagi
menangani isu-isu kepentingan bersama seperti perubahan iklim.
Ahmad Zahid pada malam Selasa menghadiri jamuan malam bersama Diaspora
Malaysia di Hotel Park City Grand Plaza di sini, sebuah hotel milik Felda.
Kira-kira 400 orang terdiri daripada rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di
UK serta pelajar Malaysia menghadiri jamuan makan malam itu.
Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London menganggarkan ada kira-kira
73,000 orang rakyat Malaysia menetap dan bekerja di UK, tidak termasuk pelajar
Malaysia yang kini berjumlah 17,631 orang yang sedang menuntut di institusi
pengajian tinggi di sini dalam pelbagai peringkat pengajian pada masa ini. – WD MY