TAPAH, 31 Mac – MENANGI….. Barisan Nasional (BN) Perak mampu menang majoriti lebih dua pertiga kerusi peringkat Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang sekiranya parti komponen BN bekerja keras, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk berkata sasaran itu juga perlu diterjemahkan di peringkat kerusi Parlimen.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan semangat toleransi, setiakawan dan kerjasama padu BN di peringkat negeri dan nasional.

“Kami sebagai anggota Parlimen atau ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) atau pengerusi parti komponen BN di peringkat nasional atau negeri… toleransi ada dalam BN … kita boleh kompromi demi (kepentingan) rakyat.

“Ketepikan kepentingan peribadi… yang penting adalah kemenangan semua calon BN daripada pelbagai parti (komponen),” katanya ketika berucap melancarkan Jentera BN Tapah, di perkarangan Bangunan UMNO Tapah di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga timbalan pengerusi BN berkata beliau berbangga dengan semangat anggota BN yang sentiasa menyokong calon BN yang bertanding tanpa mengira dari parti komponen yang mana. – WD MY