TOKYO, 2 Jun – Suatu Perkembangan Yang Baik…….Lawatan rasmi pertama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi ke Jepun minggu lepas atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Perdana
Menteri bukan sahaja mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala yang telah lama
terjalin tetapi juga membuka laluan bagi kerjasama dalam bahagian pertumbuhan
baharu terutamanya industri halal.

Banyak yang boleh ditawarkan Malaysia kepada Jepun dari segi pengalaman
negara dalam mengeluarkan barangan dan perkhidmatan halal memandangkan jangkaan
kedatangan lebih sejuta pelancong dan atlit beragama Islam ke Jepun apabila
Tokyo menjadi tuan rumah kejohanan Olimpik 2020.

Status bereputasi Malaysia sebagai hab halal utama dunia dan pusat rujukan
dan perdagangan global bagi industri halal arus perdana baharu yang dipandang
tinggi oleh kerajaan Jepun, sepatutnya dieksploitasikan dengan sewajarnya.

Banyak yang boleh ditawarkan Kuala Lumpur dari segi persijilan halal,
pindahan teknologi dan prosedur operasi standard dalam menentukan produk dan
perkhidmatan halal.

Kerajaan Jepun berminat untuk menjadikan Tokyo sebagai destinasi mesra orang
Islam, yang mana Malaysia bersedia untuk membantu.

Justeru, perlu ada interaksi peringkat tinggi yang konsisten antara Malaysia
dan Jepun dan lawatan Ahmad Zahid menyokong usaha ini.

Tambahan lagi, di Jepun sendiri terdapat kira-kira 100,000 orang Islam yang
mana 10 peratus adalah orang Jepun sendiri, manakala selebihnya orang asing yang
menetap di Jepun.

Seperti yang ditekankan timbalan perdana menteri, Malaysia akan membantu
industri halal Jepun yang bernilai berbilion dolar di mana para pegawai daripada
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Perbadanan Pembangunan Halal akan
ditempatkan di Tokyo.

Pada masa depan, kerjasama ekonomi lebih kukuh dengan Jepun adalah penting
kerana Malaysia meletakkan dirinya sebagai pintu masuk strategik bagi Komuniti
Ekonomi ASEAN dan lebih-lebih lagi kerana Jepun adalah ekonomi ketiga terbesar
dunia.

Pada persidangan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia dan Persatuan Ekonomi
Malaysia Jepun (JAMECA-MAJECA) ke-34 di sini, Ahmad Zahid mempelawa pelabur
Jepun dan pelabur dunia yang lain untuk memanfaatkan peluang perniagaan dalam
pasaran ASEAN yang amat besar, menggunakan Malaysia sebagai papan loncatan ke
rantau itu.

Jepun adalah antara negara pertama melabur di Malaysia sejak era 1970-an
lagi terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik, yang membantu melonjakkan
Malaysia menjadi pengeluar utama barangan elektrik di dunia.

Selain syarikat multinasional Jepun, negara itu juga giat terlibat dalam
pembangunan perindustrian Malaysia seperti yang dibuktikan menerusi penyertaan
besar perusahaan kecil dan sederhananya dalam sektor pembuatan Malaysia.

Sejak itu, Jepun kekal menjadi antara pelabur utama di Malaysia.

Isu-isu ini, terutamanya pembinaan semula selepas bencana adalah antara
perkara utama yang dibincangkan Ahmad Zahid dengan para pegawai tertinggi Jepun
termasuk Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan timbalannya, Taro Aso semasa
lawatan sulung beliau itu.

Malaysia akan menghantar para pegawai daripada Agensi Pengurusan Bencana
Negara ke Jepun dan belajar daripada pengalaman dan pengetahuan negara itu dalam
menangani bencana alam semula jadi dan mengurangkan risiko bencana seperti itu.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid melahirkan harapan ia akan memantapkan lagi
kesediaan Malaysia dalam menghadapi apa juga bencana alam semula jadi pada masa
hadapan.

Malaysia juga mengalu-alukan penyertaan Jepun dalam proses pembidaan
antarabangsa bagi projek kereta api laju pertama Asia Tenggara yang
menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura dalam masa 90 minit berbanding kira-kira
tiga jam sekiranya menggunakan jalan raya.

Dengan teknologi tingginya dan rekod prestasi yang baik dalam sistem kereta
api laju, Jepun berminat untuk terlibat dalam projek tersebut dan bersedia
menawarkan pakej timbal balik bagi Malaysia.

Ahmad Zahid menegaskan Malaysia amat memerlukan program offset yang mana
itulah sebabnya mengapa kontrak tersebut akan diberikan berdasarkan bukan sahaja
harga dan spesifikasi tetapi juga manfaat yang bakal diperoleh kerajaan dan
rakyat.

Memorandum persefahaman untuk memudahkan pelaksanaan projek itu dijangka
dimeterai oleh Malaysia dan Singapura bulan depan.

Mesyuarat Ahmad Zahid di Jepun membuahkan hasil dan membina, merangkumi
pelbagai isu dua hala dan serantau.

Ia menyediakan platform bagi hubungan yang lebih kukuh menjelang ulang tahun
ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada tahun depan dalam perdagangan
dan pelaburan dan terutamanya dalam pembangunan industri halal Jepun. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY