BARIO, 30 April – RTC Cadang Di Bario…. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebuah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) akan diwujudkan di Bario bagi membolehkan rakyat mendapatkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung dengan mudah dan selesa.

Katanya, pusat sehenti pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan dan pihak swasta itu akan ditempatkan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini.

Buat masa ini, katanya, jabatan dan agensi di bawah KDN termasuk Jabatan Imigresen sedang beroperasi di kompleks berkenaan.

RTC ini antara lain akan turut menempatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kata Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, ketika merasmikan Pejabat Mikro KDN Bario, di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dalam ucapannya pada majlis itu, berharap kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan cadangan mewujudkan RTC di sini.

Selain RTC, permintaan Jabu untuk mendapatkan peruntukan minima RM1.5 juta bagi menaik taraf jalan sekitar Bario turut mendapat perhatian Ahmad Zahid yang segera meluluskan peruntukan RM2 juta.

Beliau turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 untuk Persekutuan Persatuan Orang Ulu Malaysia (Forum).

Timbalan perdana menteri berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memberi bantuan dari masa ke semasa untuk meningkatkan taraf hidup dan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat di kawasan pedalaman seperti di Bario.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Jabu terhadap sumbangannya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama sembilan penggal.

Jabu mengambil keputusan untuk bersara apabila tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), 7 Mei ini.

Majlis itu turut dihadiri calon BN-Mulu, Datuk Gerawat Gala yang terlibat dalam pertandingan empat penjuru pada PRN-11.

Beliau akan dicabar oleh calon DAP, Paul Anyie Raja, Pauls Baya (PKR) dan calon Bebas, Roland Dom Mattu.

DUN Mulu merupakan antara 11 kerusi baharu selepas proses persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri Sarawak. – CF (WD MY)

LEAVE A REPLY