KUALA BERANG, 13 April – TERBAIK…. Calon Barisan Nasional (BN) adalah yang terbaik untuk rakyat berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada agensi risikan dan bebas bukannya atas kehendak individu tertentu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ramai yang berasa mereka layak bertanding tetapi pucuk kepimpinan BN yang akan menentukan calon setelah melakukan saringan dengan pelbagai sumber maklumat terbaik.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden juga mengulangi peringatannya agar tiada tindakan ‘tikam belakang’ dilakukan apabila senarai calon diumumkan kelak, sebaliknya menyatakan sokongan tanpa berbelah bahagi.

“”Saya mahu rakyat Terengganu mempelajari pengalaman lalu apabila kita melayani perpecahan dalam kalangan kita sama ada di peringkat Parlimen, DUN (Dewan Undangan Negeri) dan cawangan…kita telah kehilangan negeri ini selama satu penggal (PRU11).

“Jangan toleh ke belakang siapa pun calon…atas nama panji BN kita sokong calon itu dalam keadaan apa sahaja. Memang ramai orang berkelayakan jadi calon tetapi kita ikut kaji selidik daripada agensi risikan dan bebas, bukan siapa yang dikehendaki tetapi siapa rakyat kehendaki untuk jadi ADUN dan Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Pelancaran Manifesto BN Terengganu dan Jentera Pilihan Raya Parlimen Hulu Terengganu di Dataran Kuala Berang semalam.

Turut hadir Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Seri Jailani Johari.

Mengenai jentera pilihan raya BN, Ahmad Zahid mengingatkan supaya mereka terus bekerja keras bagi memastikan pengundi memberi sokongan padu terhadap calon BN untuk memastikan kemenangan lebih besar di Terengganu berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Jumlah kerusi yang dimenangi BN untuk membentuk kerajaan pada PRU13 adalah terlalu marginal…untuk itu, kita mahu keputusan pilihan raya nanti kerusi DUN ‘wajib’ lebih (undi) lagi daripada yang kita menang sebelum ini.

“Dengan itu, yakinlah dengan pilihan yang telah dibuat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan harus berlapang dada dengan calon yang dipilih.. saya yakin dengan semangat kekitaan, pengundi BN akan menempuhi kejayaan pada PRU akan datang,” katanya.

 

Selain itu, beliau mengingatkan jentera parti agar terus mendekati masyarakat untuk memberi penerangan mengenai Manifesto BN yang dilancarkan baru-baru ini agar mereka memahami hanya BN yang mampu memacu negara, bukannya pembangkang yang memutar belit fakta.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberi gambaran Ahmad Razif bakal menjadi Menteri Besar seterusnya jika BN memenangi pilihan raya kelak dan mendapat perkenan Sultan Mizan Zainal Abidin.

Keputusan itu berdasarkan kecemerlangan Ahmad Razif sepanjang menerajui negeri dengan pelbagai program Transformasi Terengganu Baharu, katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan pembinaan bangunan baharu ibu pejabat polis daerah Kuala Berang bernilai RM150 juta, sebuah masjid di Kampung Pasir Dula di sini dan pusat komuniti di Kampung Teris di sini masing-masing berjumlah RM250,000 dan RM4 juta. – WD MY