SUNGAI PETANI, 18 Ogos – Damai… Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi bertindak sebagai pendamai ketika perasmian mesyuarat UMNO Bahagian Sungai Petani hari ini membabitkan dua pemimpin bahagian berkenaan.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden itu berkata masalah berkenaan perlu diselesaikan menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14).

Ia membabitkan ketua bahagian itu, Datuk Abdull Rahim Saad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, Datuk Ali Yahya, yang juga ahli biasa di bahagian berkenaan.

Ahmad Zahid menjemput kedua-dua pemimpin itu berdiri di pentas utama untuk berdamai sambil berpeluk dan berpegangan tangan, sehingga mencetus situasi riuh-rendah dengan sorakan dan tepukan gemuruh perwakilan.

“Saya nak minta ketua bahagian (Abdull Rahim) berdiri di depan dan beri Datuk Ali naik ke pentas, kalau kedua-dua ini berbaik, saya janji kedua-dua ni ada tempat, setuju tak semua,” katanya sambil disahut “setuju” oleh perwakilan.

Pada PRU-11 Barisan Nasional (BN) menyapu bersih kerusi Parlimen Sungai Petani dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Pantai Merdeka, Sidam dan Bakar Arang, namun hilang semua kerusi terbabit kepada pembangkang pada PRU-12.

Melalui PRU-13, BN hanya menang di DUN Pantai Merdeka, manakala dua lagi kerusi DUN dan satu Parlimen kekal dalam penguasaan pembangkang.

“Hari ini di Sungai Petani saya tidak mahu cakap pasal Kedah atau isu nasional sebab kita nak selesai masalah ‘adik-beradik’ di Sungai Petani, untuk PRU-14 ini saya tak mahu lihat ada kem, tak mahu tengok Ketua Bahagian ada kem sendiri dan Tok Ali (Ali) pula ada kem sendiri.

“Kita tak payah cerita pasal orang lain sebab kalau kita berpecah depa (mereka) suka, yang dok gaduh di Sungai Petani ini semua kawan saya, hari ni saya nak beritahu Shahanim (Timbalan Ketua Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusof), Mejar (Abdull Rahim) dan Datuk Ali insya-Allah semuanya ada tempat.

“Kita dah tengok dalam PRU-12 masalah negeri kita diambil orang, sebab apa? Sebab kita dok sibuk kata padan muka hang (sesama sendiri), sampai lepas tu kita padan muka sendiri (hilang negeri),” katanya.

Justeru, katanya, menjelang PRU-14, beliau tidak mahu ada lagi masalah seperti itu.

Mengenai isu pemilihan perwakilan G7 pula, Ahmad Zahid meminta jasa baik supaya ia tidak dipertandingkan, sebaliknya diadakan pembahagian antara pengikut Abdull Rahim dan Ali, sebagai terjemahan kepada ‘perdamaian’ itu. – WD MY