KUALA LUMPUR, 19 Okt – Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul melantik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai anggota Jawatankuasa pemilih menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin (BN-Pagoh).

Usul yang dikemukakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu turut mencadangkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam menggantikan Datuk Seri G.Palanivel (BN-Cameron Highlands) dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikan bekas anggota Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Usul yang dikemukakan mengikut peruntukan Peraturan 76, peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum diluluskan melalui suara majoriti.

Bagaimanapun, usul itu tidak melalui jalan mudah apabila ketika sesi perbahasan pelantikan itu dipertikai beberapa anggota Parlimen termasuk Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) dan Dr Hatta Ramli (Amanah-Kuala Krai) dengan alasan anggota yang digugurkan masih merupakan anggota dewan.

Namun hujah mereka dimatikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menjelaskan bahawa pelantikan Ahmad Zahid adalah kerana beliau adalah Ketua Whip yang baharu.

“Kedudukan dalam jawatankuasa ini adalah kerana jawatan bukan kerana individu,” katanya.

Jawatankuasa Pemilih dianggotai Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai Pengerusi dan enam anggota majlis. Selain anggota yang baharu dipilih, jawatankuasa itu turut dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah). -Suraya Ahmad, Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY