JOHOR BAHRU, 25 Okt – Siasat Tragedi……. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu satu lembaga siasatan ditubuhkan berhubung tragedi kebakaran di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, pagi tadi.

Beliau turut mengarahkan setiap hospital dan klinik kerajaan mempunyai laporan keselamatan dan kesihatan terutama berkait aspek keselamatan dan penyelenggaraan bangunan.

“Saya rasa dukacita atas tragedi kebakaran di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru yang berlaku pagi tadi.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan kerajaan akan memastikan setiap bantuan dan keperluan kepada keluarga mangsa disegerakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yakin Kementerian Kesihatan dan pihak yang berwajib sudah mengambil langkah tertentu dalam mengenal pasti punca kejadian.

“Apa yang penting sekarang adalah keselamatan pesakit lain, kakitangan hospital serta bahagian bangunan yang lain berada dalam keadaan selamat dan tidak terjejas.

“Ini termasuk laluan keselamatan dan lokasi berkumpul yang mudah diakses ke tempat lebih selamat dengan kadar segera kerana Prosedur Operasi Standart (SOP) Kecemasan sewajibnya diaplikasikan sebagai persediaan kesiapsiagaan,” katanya. – WD MY