NUSA DUA (BALI), 10 Ogos – Kongsi Pengalaman Deradikalisasi… Malaysia akan berkongsi pengalamannya melaksanakan program pemulihan golongan radikal atau deradikalisasi dalam Mesyuarat Antarabangsa Menentang Keganasan (IMCT) di sini hari ini kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Modul Deradikalisasi Bersepadu Orang Tahanan yang Malaysia bangunkan telah diedarkan kepada semua wakil negara yang hadir mesyuarat itu sebagai tanda Malaysia sedia berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam program berkenaan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri tiba di sini malam tadi dengan diiringi pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar Negeri.

Sebanyak 21 negara dan 330 delegasi asing menghadiri IMCT bertemakan Menangani Pergerakan Keganasan Merentas Sempadan yang dijadual dirasmikan oleh Menteri Koordinator Politik Hukum dan Keamanan Indonesia, Wiranto.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat itu akan menjadi peluang yang baik untuk semua negara yang mengambil bahagian bagi meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam menangani ancaman keganasan, terutamanya dari segi pergerakan pengganas di sempadan serta penyeludupan senjata dan program deradikalisi.

“Peluang kerjasama ini meliputi pertukaran pandangan, idea dan amalan terbaik serta perkongsian risikan dan maklumat. Isu pejuang pengganas asing (FTF) di samping isu berkaitan pembiayaan keganasan, penyeludupan senjata dan penggunaan internet dan media sosial untuk menyebarkan ideologi pengganas akan dibincangkan dalam mesyuarat itu,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Malaysia dalam memerangi keganasan terutamanya dari segi kerjasama antarabangsa.

Katanya, kehadiran beliau sendiri ke mesyuarat itu menunjukkan keseriusan Malaysia dalam memerangi ancaman keganasan rentas sempadan. – WD MY

LEAVE A REPLY