BAGAN DATUK, 30 April — KONSEP……. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pasukan sukarelawan di negara ini menghayati konsep pertahanan menyeluruh atau ‘hanruh’ dalam melaksanakan tugas.

Beliau berkata pasukan sukarelawan merupakan barisan pertahanan dan keselamatan kedua negara selepas polis dan tentera untuk berdepan masalah yang berlaku dalam negara.

“Saya dari dulu hingga sekarang cukup menghargai badan-badan sukarela… apabila (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) menjadi Menteri Pertahanan (ketika itu Ahmad Zahid ialah setiausaha politik Najib) dan saya bantu beliau menghidupkan semangat hanruh ini dengan memberi kuasa kepada pasukan sukarelawan.

“Konsep hanruh yang melibatkan masyarakat supaya dapat membantu polis dan tentera akan mewujudkan Malaysia yang aman dan sejahtera, aman… bebas jenayah, dadah dan perkara yang boleh merosakkan masyarakat,” katanya pada majlis perhimpunan sukarelawan Bagan Datuk 2018 semalam.

Hadir sama ialah calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya dan calon kerusi DUN Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi bagi Pilihan Raya Umum ke-14 ini.

 

Kira-kira 1,000 anggota pasukan sukarelawan menghadiri perhimpunan yang turut dimeriahkan artis terkenal tanah air termasuk Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nashrudin Elias atau lebih dikenali Nash dan Datuk Khatijah Ibrahim.  – WD MY