BAGAN DATOH, 17 Dis – Janji…..Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi hari ini berjanji akan terus membantu Datuk Seri Najib Tun
Razak tidak kira dalam keadaan apa sekalipun.
Beliau turut meminta orang ramai khususnya penduduk Parlimen Bagan Datoh
supaya mendoakan hubungan beliau dengan perdana menteri terus berpanjangan.

“Saya minta orang Bagan Datoh mendoakan hubungan saya dengan Najib terus berpanjangan sebagai pemimpin nombor satu dan dua, seorang sahabat, adik beradik,” katanya ketika berucap pada majlis sepetang Timbalan Perdana Menteri bersama kepimpinan masyarakat Parlimen Bagan Datoh di Wisma Bagan Datoh di sini.

Pada majlis itu, kira-kira 500 orang pemimpin masyarakat setempat dan
anggota parti Komponen Barisan Nasional hadir.
Ahmad Zahid berkata beliau telah bekerja bersama Najib sejak 1 Okt 1987
sebagai setiausaha politik semasa perdana menteri ketika itu menjadi Menteri
Belia dan Sukan sebelum menjadi Menteri Pertahanan.
“Selepas itu saya terus bekerja dalam sektor korporat, namun saya
membantunya (Najib) dari luar,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh meminta
pihak tertentu supaya menghentikan segala fitnah ke atasnya termasuk surat
layang kononnya beliau mendesak Najib meletak jawatan kerana ia hanya membuang
masa.
Ahmad Zahid menegaskan sepanjang kerjaya politiknya beliau tidak pernah
menjatuhkan sesiapa dan pegangan itu menyebabkannya kekal sebagai Anggota
Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh.
“Bukan jenis saya untuk menjatuhkan sesiapa termasuk perdana menteri sebab
itu di Bagan Datoh saya selamat dari 1985 sampai sekarang dan tiada siapa lawan
saya,” katanya. – WD MY