BAGAN DATUK, 9 Mei – AMAN…… Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata suasana kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selama 11 hari yang berakhir tengah malam tadi adalah lebih baik dan berlangsung aman tanpa insiden tidak diingini berbanding kempen pada Pilihan Raya Umum-13 (PRU-13).

Timbalan Perdana Menteri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan bahawa tiada insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang tempoh berkempen.

“Ketika ketika kempen berjalan iaitu sepanjang kempen dan ketika pra-pengundian (proses undi awal berlangsung) hanya beberapa laporan polis sudah dibuat dan kita harap tidak ada sebarang laporan polis (sepanjang tempoh mengundi).

“Pegawai dan anggota polis akan terus bertugas di setiap ibu negeri dan ibu negara iaitu (Kuala Lumpur dan Putrajaya) bagi bersiap sedia untuk upacara mengangkat sumpah jika diperlukan dan apabila situasinya mendesak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melaksanakan tanggungjawab mengundi di Pusat Mengundi Madrasah Minbail Ulum, Sungai Nipah Darat, di sini hari ini.

Ahmad Zahid adalah individu yang kedua tiba di pusat mengundi berkenaan diikuti isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis dan anak sulungnya, Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid.

Mereka tiba di pusat mengundi berkenaan yang terletak hanya bersebelahan kediaman keluarganya di Sungai Nipah Darat di sini kira-kira jam 8.01 pagi.

Yang hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Ahmad Zahid berkata, penugasan anggota keselamatan di seluruh negara diteruskan selepas pasca pilihan raya selepas tempoh mengundi tamat jam 5 petang dan semua anggota keselamatan terbabit tidak akan pulang sehingga segala proses berkaitan selesai.

Beliau berkata, bagi membantu mengawal dan menyuraikan kesesakan trafik yang akan berlaku di seluruh negara, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan membantu polis trafik membuat kawalan dan melancarkan pergerakan kenderaan yang keluar masuk ke pusat mengundi di seluruh negara. – WD MY