BAGAN DATUK, 19 April – INGATKAN…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan sebarang kenyataan berbentuk ugutan oleh mana-mana pemimpin dan parti dalam Barisan Nasional (BN) termasuk soal kerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) amat tidak dialu-alukan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, sebaliknya semangat kebersamaan dalam kalangan parti komponen harus diterjemahkan dalam bentuk komitmen untuk memastikan kemenangan calon BN tanpa mengira siapa yang menjadi calonnya.

“Jika terdapat mana-mana pemimpin parti komponen BN yang mengugut untuk melakukan itu dan ini, maka tentu ugutan itu amat tidak dialu-alukan, apatah lagi jika pemimpin yang berkenaan berhasrat untuk bertanding di kerusi yang telah ditentukan untuk rakan parti komponen yang sama.

“Jika berkeras mahu bertanding di sesuatu kerusi yang beliau anggap boleh dimenangi, maka beliau harus menghormati keputusan bahawa kerusi itu sudah ditentukan untuk parti lain,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden myPPP, Tan Sri M Kayveas, yang menyatakan parti itu akan keluar BN jika kehendak mereka berhubung pengagihan kerusi tidak dilayan, namun memaklumkan akan bertemu Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara itu.

Kayveas sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding di Parlimen Cameron Highlands yang menjadi kerusi tradisi MIC tetapi mendakwa hasrat itu tidak dipenuhi sebaliknya diminta bertanding di Parlimen Segambut.

Bercakap pada sidang media selepas melawat Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Parit Lima Sungai Sumun di sini hari ini, Timbalan Perdana Menteri berkata kepemimpinan BN sudah mengambil kira persetujuan terhadap kerusi tertentu sama ada dipinjamkan buat sementara waktu atau ditukarkan ke kawasan lain.

Beliau yakin Kayveas pada akhirnya akan menerima hakikat bahawa kesatuan dalam BN harus diberi keutamaan, tambahan pula ia hanya membabitkan sebuah parti daripada 13 komponen keseluruhan dalam BN.

Ahmad Zahid berharap semangat kesatuan dalam BN diberi keutamaan dan percaya Najib memiliki formula selepas PRU-14 kepada myPPP sebagaimana dilaksanakan dalam PRU sebelum ini.

Beliau yakin Perdana Menteri mempunyai formula, kaedah penyelesaian serta kemampuan menyelesaikannya dan akan tetap membantunya dalam keadaan apa pun untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul di kalangan parti komponen.

“Tentu kita tidak akan dapat 100 peratus apa yang dikehendaki dan UMNO juga yakin jika sesuatu kerusi itu diberikan kepadanya (boleh menang) kerana pertambahan pengundi Melayu di kawasan itu tetapi UMNO sanggup berkorban kerana yakin setiap orang yang mewakili mana-mana parti dalam BN, ia sebenarnya membawa lambang dan imej BN.

“Jadi, mana-mana calon yang bertanding atas lambang BN, ia harus didokong oleh semua parti komponen dalam BN,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan disiplin boleh dikenakan terhadap myPPP atau Kayveas, Ahmad Zahid berkata ia adalah isu politik dan harus diselesaikan secara politik.

“(Kayveas) ada beberapa kali (berjumpa saya) dan saya telah menyatakan ada formula penyelesaiannya dan menjadi calon bukan penyelesaian muktamad, ada beberapa kaedah untuk memberikan peluang kepada parti berkenaan untuk menjadi anggota pentadbiran dalam badan lain dalam kerajaan Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau mengenali Kayveas secara peribadi dan percaya kenyataan itu lebih kepada usaha menjaga hati barisan kepemimpinan dalam myPPP.

Beliau berkata, masalah seperti itu bukan hanya berlaku dalam BN tetapi ugutan seperti itu turut berlaku di kalangan parti pembangkang dan ia adalah perkara lumrah setiap kali menjelang PRU. – WD MY