BAGAN DATUK, 1 Mei – SALUR……. Kerajaan Barisan Nasional (BN) menyalurkan bantuan kepada rakyat secara berterusan dan bukannya bermusim, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata kerajaan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak amat prihatin dengan nasib rakyat terutama golongan kurang berkemampuan di seluruh negara.

“Kita (kerajaan BN) tidak hanya memberi bantuan pada waktu tertentu terutamanya menjelang musim pilihan raya umum,” katanya.

Ahmad Zahid ditemui media ketika mengunjungi rumah seorang daripada penerima bantuan bersempena program Kembara Jalinan Kasih (KJK) penyerahan rumah baik pulih Skop Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) – Menghubung Menyatu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Parlimen Bagan Datuk hari ini.

Lima keluarga sekitar Kampung Sungai Ular, Kampung Sungai Burung dan Kampung Pasang Api menerima sumbangan titik sentuhan menerusi program KJK anjuran Jabatan Penerangan Malaysia berupa bantuan perubatan dan keperluan harian.

 

KJK bertujuan mendampingi masyarakat setempat secara langsung menerusi aktiviti kemasyarakatan selain pelaksanaan aktiviti pemasaran maklumat bagi melahirkan komuniti setempat yang bermaklumat serta memperkukuhkan ikatan silaturahim antara pemimpin dan agensi kerajaan dengan masyarakat setempat. – WD MY