ULAANBAATAR, MONGOLIA, 13 Jula i- ASEM Bermula Jumaat……. Perkembangan politik semasa di Asia dan Eropah, memerangi keganasan dan migrasi dijangka dibincangkan oleh para pemimpin Asia dan Eropah pada Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) ke-11 yang bermula di sini Jumaat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dijangka tiba di sini pada petang Khamis untuk mengetuai delegasi Malaysia pada ASEM ini, juga akan mengemukakan pandangan serta pendirian Malaysia pada sesi pemukiman.

Menurut Duta Malaysia ke China yang juga ditauliahkan serentak ke Mongolia Datuk Zainuddin Yahya, ASEM juga memberi tumpuan kepada isu semasa lain seperti hak asasi manusia, pengedaran dadah, dialog antara agama, jenayah transnasional dan pemerdagangan manusia.

“Para pegawai kanan ASEM yang bermesyuarat hari ini juga bersetuju dengan permintaan Malaysia untuk memasukkan konsep kesederhanaan dalam dokumen Kenyataan Pengerusi dan Deklarasi Ulaanbaatar,” katanya pada taklimat kepada media Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak itu di sini hari ini.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, negara-negara Eropah dan Asia telah menyaksikan isu-isu pemerdagangan manusia, pelarian dan keganasan, terutamanya yang melibatkan kumpulan militan Daesh.

Zainuddin berkata ASEM merupakan platform dan forum yang penting bagi Malaysia dalam konteks meningkatkan kerjasama dalam bidang politik, ekonomi, perdagangan dan sosiobudaya dengan negara-negara Asia dan Eropah.

Tambah beliau, negara-negara anggota ASEM menyumbang sekitar 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sekitar 60 peratus dagangan dunia.

Ahmad Zahid juga telah menerima permintaan daripada Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, dan Perdana Menteri Slovenia Miro Cerar untuk mengadakan pertemuan dua hala semasa Sidang Kemuncak ini, katanya.

Zainuddin juga berkata, selaras dengan tema pada Sidang Kemuncak kali ini iaitu “20 Tahun ASEM: Perkongsian Untuk Masa Depan Melalui Kesalinghubungan”, para pemimpin dijangka membincangkan tentang pencapaian ASEM sepanjang 20 tahun lalu dan hala tuju masa depannya.

Ahmad Zahid dijangka mengambil bahagian dan mengutarakan pandangan-pandangan Malaysia dalam Sesi Pleno Pertama yang bertajuk “Dua Dekad Perkongsian: Membuat Penilaian dan Melihat Ke Hadapan.”

Sesi Pleno kedua, “Menggalakkan Perkongsian ASEM Untuk Kesalinghubungan Yang Lebih hebat” pula akan membincangkan isu-isu membina kesalinghubungan antara Asia dan Eropah, perubahan iklim, pembangunan mampan, pengurangan dan pengurusan sumber air serta rangka kerja dan hala tuju masa depan ASEM.

ASEM ditubuhkan pada Mac 1996 dengan Sidang Kemuncak yang pertama dihadiri para pemimpin dari enam negara anggota ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan serta para pemimpin dari negara anggota Kesatuan Eropah dan Suruhanjaya Eropah (EC).

Sidang Kemuncak ASEM yang Pertama berlangsung di Bangkok, Thailand, dan Sidang Kemuncak ASEM yang ke-10 diadakan di Milan, Itali pada tahun 2014.

Sidang Kemuncak ASEM merupakan satu-satunya wadah di mana dialog dan penglibatan antara para pemimpin Asia dan Eropah berlangsung setiap dua tahun secara bergilir-gilir di antara negara Eropah dan Asia, dan ia juga adalah peringkat pembuat keputusan tertinggi dalam ASEM.

Aktiviti-aktiviti utama ASEM terdiri daripada interaksi dalam tiga bidang utama iaitu dialog politik, kerjasama ekonomi dan kebudayaan. – WD MY

LEAVE A REPLY