KUCHING, 3 Julai – Kunjung……. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memulakan kunjungan mesra sempena perayaan Gawai dan Aidilfitri di kediaman Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing di Jalan Laksamana Cheng Ho, di sini.

Selain menikmati juadah istimewa yang disajikan, Ahmad Zahid turut tertarik dengan ikan empurau, ikan eksotik termahal di negara ini yang dibela di pekarangan rumah Masing.

Beliau turut beramah mesra dengan tetamu di kediaman Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu selama satu jam setengah sebelum beredar ke Astana Negeri untuk menghadiri jamuan makan tengah hari bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib.

Petang ini, Ahmad Zahid dijadual mengadakan kunjungan ke kediaman Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, di Taman BDC Stampin.

Malam ini pula, beliau dijadual berkunjung ke kediaman Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan di Jalan Casuarina, Petra Jaya.

Beliau tiba di negeri ini petang semalam dan terus mengunjungi kediaman Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg di Sri Minangkabau, Petra Jaya, sebelum menziarahi jenazah Allahyarham Datuk Daud Abdul Rahman, di Laruh Skim, Jalan Matang. -WD MY