KOTA TINGGI, 7 Sept – RIDE…. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunaikan solat Maghrib dan Isyak bersama kira-kira 800 jemaah di Masjid Jamek Al-Firdaus Gugusan FELDA Lok Heng, sempena program Merdeka Ride 2017.

Selesai solat, Ahmad Zahid kemudian menyertai kenduri sekampung yang disediakan jawatankuasa masjid sebelum turut menyampaikan sumbangan kepada 12 golongan asnaf daripada kawasan terbabit.

Program Merdeka Ride 2017 anjuran Gabungan Superbikers Malaysia (SAM) itu bermula pada 4 September di Jeli, Kelantan disertai seramai 600 penunggang motosikal berkuasa besar dari Malaysia, Brunei, Thailand dan Indonesia.

Konvoi berkenaan berpecah kepada dua zon iaitu sebanyak 300 ke utara manakala 300 lagi akan melalui pantai timur dan selatan.

Bagi pasukan ke Selatan, mereka yang bermula di Jeli telah melalui Pekan dan seterusnya ke Kota Tinggi.

Konvoi akan meneruskan perjalanan ke Jelebu, Negeri Sembilan, yang akan berakhir di Putrajaya, menyaksikan himpunan kira-kira 6,000 penunggang motosikal berkuasa besar. – WD MY