SEPANG, 7 Mei – SOLAT HAJAT…… Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta jentera dan ahli BN di seluruh negara supaya melakukan solat hajat esok bagi memohon kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut meminta ahli komponen BN yang lain termasuk yang beragama Kristian, Buddha dan Hindu supaya melakukan perkara sama mengikut kepercayaan masing-masing.

“Saya mohon esok (Selasa) supaya solat hajat dilakukan agar pengundi dijauhi segala fitnah selain memohon kemenangan besar buat BN kali ini.

“Solat hajat dan doa oleh orang yang difitnah pasti akan dimakbulkan,” katanya ketika berucap di hadapan ahli dan jentera BN Sepang pada majlis pemimpin bersama rakyat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, calon BN Parlimen Sepang, Datuk Marsum Paing; Shahrum Mohd Shariff (DUN Dengkil); Datuk Dr Karim Mansor (DUN Tanjung Sepat) dan Datuk Ng Chok Sin (Sungai Pelek).

Beliau berkata, orang Islam diajar supaya tidak membuka aib seseorang kerana dibimbangi Allah akan membuka aib mereka kelak.

Katanya beliau kesal kerana terlalu banyak tohmahan dan fitnah disebarkan oleh pembangkang melalui media sosial.

“Saya juga pasti rakyat Malaysia sudah muak dengan fitnah dan tohmahan yang diulang dan dikitar semula oleh mereka (pembangkang),” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan segelintir veteran dan pemimpin UMNO terdahulu bahawa mereka ‘hebat’ kerana parti dan ahli BN yang menyokong mereka sebelum ini.

“Perlu diingat bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen, mereka menang bukan sebab mereka hebat, sebaliknya kita sokong mereka sebab parti dan BN yang sokong mereka selama ini termasuklah siapa yang jadi Perdana Menteri selama 22 tahun itu,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga mahu setiap wakil rakyat BN yang dipilih kelak supaya tidak menggunakan kelebihan itu untuk menambah kekayaan dan menukar gaya hidup.

“Jika ditakdirkan mereka (wakil rakyat) tidak berprestasi baik, hukum (tidak undi) mereka balik pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata seramai 14 calon muda BN dipilih bertanding bagi kerusi Parlimen di Selangor selain 43 muka baru bagi DUN, sekali gus membuktikan komitmen BN Selangor untuk mewujudkan gelombang bagi merampas kembali negeri itu.

“Seramai 57 muka baru ini adalah harapan baharu rakyat Selangor. Tolong beri peluang sekali lagi untuk buktikan kita mampu lakukan yang lebih baik jika kita berjaya ambil alih Selangor,” katanya. – WD MY