LENGGONG, 2 April – SEDIAKAN….. Kemampuan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) menunjukkan kerajaan tidak bankrap, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid menyifatkan pihak tertentu yang menyatakan sedemikian terhadap kerajaan yang sebenarnya berfikiran bankrap.

“Projek Perumahan Rakyat di Lenggong ini yang dibina sebanyak 500 unit rumah akan dijual dengan harga jualan bernilai RM35,000 seunit.

“Jadi mana ada pemaju yang membuat rumah yang bernilai kira-kira RM194,000 tetapi dijual dengan harga RM35,000. Tidak ada, hanya kerajaan tidak bankrap sahaja boleh jual dengan harga RM35,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program bantu rakyat dan majlis pecah tanah PPR Lenggong hari ini.

Projek bernilai RM94 juta itu dengan setiap satu unit berkeluasan 700 kaki persegi akan dibina di Kampung Chain, di sini manakala bagi penghuni orang kurang upaya, unit tersebut akan menawarkan keluasan 710 kaki persegi.

Setiap unit rumah itu akan mempunyai tiga bilik, dua bilik air, satu dapur selain menyediakan kemudahan surau, tadika serta premis perniagaan.

Ahmad Zahid berkata projek berkenaan adalah satu manifestasi kerajaan yang terdahulu dalam menyediakan rumah kepada rakyat dan ia bukan diwujudkan untuk agenda politik.

“Manifesto yang lalu, kerajaan melalui pelbagai pihak antaranya Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhasrat menyediakan satu juta projek perumahan kepada rakyat termasuk program di sini, adalah janji yang ditepati untuk memberikan nikmat kepada orang Lenggong,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata nikmat ini harus diberikan kepada setiap rakyat dan tidak harus dibezakan dari segi pertempatan rakyat, agama, bangsa dan perbezaan pegangan politik.

Dalam pada itu, beliau menegaskan jangan menyamakan atau menghina penerima BR1M sebagai ayam dan itik yang memakan dedak.

Ahmad Zahid berkata tahun lepas setengah juta rakyat di negara ini mendapat BR1M 4.0 bernilai RM605 juta keseluruhannya dan di Perak kira-kira 684,000 orang menerima bantuan itu.

“Adakah ia dedak atau gula-gula atau hanya taburan untuk ayam itik, jangan hina rakyat ayam itik, sedangkan agihan untuk Parlimen Lenggong sahaja adalah 11,631 orang.

“Jangan hina orang Lenggong, orang Perak, orang Malaysia yang menerima BR1M. Rakyat juga perlu berterima kasih kepada kerajaan,” katanya.

Ahmad Zahid turut meluluskan peruntukan bernilai RM2.73 juta bagi pembangunan di Lenggong termasuklah menaik taraf Rumah Rehat dan Resort Tasek Raban, menaik taraf Dataran Tasek Raban serta Lenggong serta menambah kemudahan bilik belajar sebuah Maahad Tahfiz di Air Jernih, Gerik. – WD MY