KUALA LUMPUR, 9 Dis – JANGAN TERPENGARUH….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan UMNO supaya tidak mudah selesa jika berdepan pertembungan lebih dua penjuru pada pilihan raya umum akan datang.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden itu berkata, parti juga perlu bersedia berdepan taktik kejutan serangan di saat akhir (SLMA) pembangkang.

“Di sesetengah kawasan, ia mungkin tidak akan menguntungkan Barisan Nasional (BN). Parti harus diperkuatkan dari dalam, bukan mengharapkan faktor luaran.

“Pembangkang akan menggunakan apa sahaja pendekatan untuk menang. Mereka hidup atas isu sedangkan BN mengamalkan ‘agenda centric’,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, taktik SMLA pembangkang mampu mengalih sokongan pengundi atas pagar dan ‘persuadable voters’ sehingga mengakibatkan UMNO terperangkap dalam percaturan mereka.

“Jentera parti perlulah menghidu terlebih awal sebarang isu dan pembohongan yang dimainkan pembangkang kali ini, terutama di media sosial. Sediakan jawapan dan serang balas setiap fitnah dan tohmah. UMNO perlu memanfaatkan sepenuhnya media sosial.

“Ingatlah, kita dalam satu pasukan. Janganlah melibas sesama sendiri. Tolong antara satu sama lain, terutamanya pada hari D-Day (Pilihan Raya Umum Ke-14),” katanya. – WD MY