PETALING JAYA, 7 Mei – PASTIKAN…… Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bukan masa untuk rakyat ‘membina rumah baharu dan merobohkan rumah yang didiami sejak 61 tahun lalu’.

Sebaliknya Timbalan Perdana Menteri berkata, jika ada mana-mana bahagian pada rumah berkenaan mengalami kerosakan, ia harus diperbaiki dan bukan dirobohkan untuk diganti dengan rumah baharu.

“Mari kita fikirkan untuk 32 tahun yang mendatang apabila Transformasi Nasional ditawarkan kepada generasi akan datang, kita mahu ia mempunyai kesinambungan. Hanya Barisan Nasional (BN) boleh meneruskannya.

“Kalau kita mahu membina rumah, tidak semestinya kita roboh rumah itu. Rumah yang sedia kukuh mungkin tiang serinya masih kukuh. Jangan robohkan rumah itu.

“Mungkin lantainya ada yang reput, gantikan atau ada bumbung yang bocor, gantikan yang baharu.

“Kalau dindingnya boleh diintai, gantikan tetapi bukan dengan cara merobohkan rumah itu dan bina rumah baru kononnya lebih baik. Ia tidak begitu.

“Rumah ini (BN) sudah berjasa selama 61 tahun, masih boleh dihuni dan penghuninya mesti terdiri daripada pemimpin yang baik.

“Dan Insya-Allah ia boleh dihuni dengan selesa untuk 14.9 juta pengundi apatah lagi rakyat kita semakin bertambah dan kita sudah bersiap siaga untuk menuju masa depan cemerlang untuk 32 tahun yang mendatang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Mandat selama sejam terbitan TV3 di Sri Pentas di Damansara Utama malam tadi.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, BN sentiasa optimis dalam usahanya untuk memastikan negeri dikuasai akan dapat dipertahankan dan negeri di bawah cengkaman pembangkang akan ditawan kembali.

Katanya, walaupun ada cabaran perlu dihadapi, BN yakin dengan kegigihan ditampilkan kepemimpinannya di Kelantan dan Selangor, dalam usaha menawan negeri terbabit. – WD MY