KUALA LUMPUR, 29 Nov – Raikan…….Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi hari ini meraikan kira-kira 2,000 perwakilan daripada
pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dalam jamuan tengah hari bersempena
Perhimpunan Agung UMNO 2016 di sini.
Turut hadir Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha
Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Wanita Tan Sri Shahrizat
Abdul Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati
Samsudin.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid yang juga naib presiden yang menjalankan tugas
timbalan presiden parti turut menyaksikan penyerahan sumbangan khairat kematian
oleh Khairy mewakili Pemuda kepada wakil enam pemimpin Pemuda bahagian yang
meninggal dunia pada tahun ini, berjumlah RM20,000 setiap seorang.
Shahrizat yang mewakili Wanita UMNO pula menyampaikan pinjaman Tekun
Malaysia berjumlah RM4.54 juta kepada 60 peserta Program Pembangunan Usahawan
Profesional Muda Bumiputera yang diwakili oleh Pengerusi Tekun Nasional Datuk
Nor Azita Abd Rahman merangkap penolong bendahari Wanita UMNO.
Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut menyampaikan Anugerah Penambahan
Keahlian Tertinggi Puteri UMNO Bahagian yang dimenangi oleh Puteri Bahagian
Kuala Nerus dengan jumlah keanggotaan baharu 1,359 orang diikuti Puteri Bahagian
Besut dengan keanggotaan baharu 728 orang dan Puteri Bahagian Baling dengan
jumlah keanggotaan baharu 534 orang. – WD MY