SABAK BERNAM, 3 April – MANDAT…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta rakyat Selangor memberi semula mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan pembangunan yang telah dimulakan oleh pimpinan terdahulu BN di negeri itu.

Menggunakan perumpaan sawah padi untuk menggambarkan keadaan di Selangor, beliau berkata pemimpin BN terdahulu telah ‘menanam benih padi, membaja dan membajak’ tanaman itu namun kini apabila sawah padi menguning, pihak lain pula yang menuainya.

‘Pihak lain’ yang disebut Ahmad Zahid jelas merujuk kepada kerajaan negeri Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Dahulu di Selangor, yang tanam, baja dan bajak sawah padi politik ialah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib (bekas menteri besar) tetapi yang menuai sekarang, orang lain sampai air bendang kering, sawah jadi kering.

“…BN wajib ambil alih Selangor. Kita mesti tuai padi yang kita tanam, kita mesti jual padi yang kita tanam, jangan kita tanam orang lain tuai, jual dan kemudian dabik dada kata ini semua hasil yang mereka lakukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Rakyat malam tadi.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Pengerusi BN, menegaskan pemimpin BN bukan pemimpin bermusim yang hanya ‘muncul apabila musim padi menguning’sebaliknya mereka sentiasa bersedia menawarkan khidmat kepada rakyat pada bila-bila masa.

Timbalan perdana menteri dalam pada itu turut menyatakan penghargaan kepada Muhammad dan bekas barisan pemimpin BN Selangor yang telah banyak berjasa memajukan negeri itu.

Beliau berkata kombinasi antara pemimpin lama dan baharu amat penting dalam menggerakkan usaha untuk BN menawan semula Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Zaman mereka telah berlalu tapi tanpa mereka, kita tidak ada di sini. Dahulu, zaman mereka jadi pemimpin, kita yang sokong mereka. Bila sekarang zaman kita, mereka semua terus bantu dan sokong kita untuk gerakkan jentera,” katanya.

Merumuskan program turun padang beliau ke Selangor hari ini dan di beberapa lokasi sebelum ini, Ahmad Zahid melihat barisan kepimpinan UMNO dan BN Selangor di bawah pengerusinya Tan Sri Noh Omar berada pada tahap terbaik.

Namun, timbalan perdana menteri mengingatkan mereka supaya sentiasa berpijak di bumi nyata dalam meneruskan perjuangan untuk menawan semula Selangor.

“Apabila kita bergerak terutama gerakan yang dilakukan melalui Skuad Tawan Selangor, kita tidak akan pernah toleh ke belakang untuk tawan semula Selangor. Bila tidak toleh belakang ertinya kita ke hadapan, bila jalan ke depan jangan hanya lihat langit tetapi lihat juga bumi, lihat kiri dan kanan.

“Di mana bumi dipijak di situlah langit kita junjung. Kita perlu lihat juga rumput di bumi kerana pemimpin dan rakyat berpisah tiada,” katanya.

Beliau turut yakin BN dapat mengekalkan kemenangan di Parlimen Sabak Bernam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar pada PRU14 selain memenangi semula kerusi DUN Sabak yang kini disandang wakil rakyat PAS.

Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan upacara pecah tanah bangunan baharu Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam dengan peruntukan sebanyak RM15 juta. – WD MY