KUALA LUMPUR, 2 Jun – BERTANDING….. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bertanding jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti.

Setiausaha akhbarnya, Mejar Jeneral Datuk Fadzlette Othman Merican mengesahkan perkara itu dan berkata, borang pencalonan tersebut sudah dihantar ke ibu pejabat parti semalam.

“Beliau menjadi individu pertama yang mengisi dan menghantar borang pencalonan di ibu pejabat Umno semalam,” katanya.

Ahmad Zahid merupakan Naib Presiden Umno yang kini menjalankan tugas-tugas presiden selepas Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatannya 12 Mei lalu.

Sementara itu, Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein belum memutuskan jawatan yang bakal ditandinginya.

Hishammuddin kini berada di Mekah menunaikan umrah.

Dalam pemilihan Umno kali ini, semua jawatan tertinggi parti termasuk presiden dan timbalan presiden bakal dipertandingkan.

Pendaftaran pencalonan bagi semua jawatan boleh dibuat menerusi dalam talian. – WD MY