PUTRAJAYA, 10 Sept – SERTAI….. Lebih 6,000 motosikal berkuasa tinggi membanjiri Dataran Presint 3 di sini, sempena 60 tahun Malaysia mengecap kemerdekaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata permotoran terbukti antara aktiviti dan hobi yang berjaya menyatupadukan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Eksekutif Superbikes Association of Malaysia (SAM) hari ini mencadangkan supaya diwujudkan sebuah badan naungan khas aktiviti permotoran iaitu Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPPM).

“Kita mahu semua persatuan permotoran di negara ini bernaung di bawah satu badan kerana beza antara kita sama ada motosikal berkuasa tinggi atau yang lain, kita semua sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Merdeka Rides 2017 di Dataran Presint 3, di sini, hari ini.

Lebih 600 penunggang motosikal berkuasa tinggi menyertai Merdeka Rides 2017 yang bermula sejak 4 September lalu merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan destinasi terakhir di Putrajaya.

Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang Merdeka Rides 2017 adalah kunjungan ke kawasan perkampungan Orang Asli serta gotong royong bersama penduduk kampung.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengajak rakyat Malaysia beramai-ramai mengutuk keganasan kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya di samping sentiasa bersyukur dengan keadaan negara yang aman dan sejahtera walaupun rakyatnya terdiri dari pada pelbagai bangsa dan agama.

“Kita boleh bergurau senda, hidup dalam keadaan sejahtera walaupun berbilang kaum sebab negara kita aman. Kita saling menerima antara satu sama lain.

“Cuba kita kenang nasib etnik Rohingya yang disiksa, dipancung, dibunuh dengan kejam. Kita mahu rakyat di seluruh negara menolak, dan bangun bersama-sama mengutuk perbuatan itu,” katanya. – WD MY