BERA, 16 April – SEMUA……. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata¬† kesemua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis akan diperkasakan seiring dengan keberkesanan dan kecemerlangan pasukan elit khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata kecemerlangan pasukan elit khas seperti Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) dalam membanteras jenayah berkait rapat dengan sumbangan kepakaran daripada IPD dan balai polis.

Selain mewujudkan suasana kerja yang kondusif, katanya, pemodenan atau pemantapan IPD dan balai polis penting dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan seiring transformasi tiga pasukan elit PDRM itu.

“Kerjasama oleh IPD dan balai-balai polis dengan pasukan elit tersebut menyaksikan indeks jenayah berjaya diturunkan sebanyak 53 peratus, satu angka yang diperakui dan disahkan oleh pihak ketiga yang kredibel.

“Sebab itu, kita berazam selain tiga pasukan elit tersebut, kerajaan juga akan perkukuhkan keupayaan IPD dan balai polis seiring cabaran semasa dunia kepolisan,” katanya ketika berucap merasmikan bangunan baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pemerkasaan IPD dan balai polis seiring dengan manifesto Barisan Nasional (BN) dengan 20 perkara daripada 42 inisiatif yang ditawarkan adalah berkaitan pengupayaan PDRM.

Bagi menjadikan PDRM sebagai polis komuniti yang mesra rakyat, katanya, manifesto BN juga menggariskan usaha untuk memperhebatkan dan meneruskan geran Komuniti Penduduk 1Malaysia bagi semua persatuan penduduk bagi tujuan pembelian peralatan keselamatan dan program pencegahan jenayah.

Malah, kerajaan akan menambah jumlah Rakan Cop dan Polis Bantuan terlatih bagi membantu mencegah jenayah dalam kawasan kejiranan serta menambah jumlah anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) untuk meningkatkan kawalan keselamatan dan memelihara keamanan di kawasan yang mempunyai kadar jenayah tinggi.

“Apa yang dibentangkan dalam manifesto adalah dalam kerangka perancangan yang holistik dan mampu dicapai andainya BN dipilih semula untuk menubuhkan kerajaan yang baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” kata beliau.

Mengenai kesiapsiagaan menjelang PRU14, beliau berkata lebih 80,000 pegawai dan anggota PDRM di seluruh negara akan terbabit dalam penugasan kawalan bermula daripada hari penamaan calon pada 28 April dan sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian pada 9 Mei.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut mengingatkan pegawai dan anggota yang terbabit dalam penugasan PRU14 supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bagi memastikan ketenteraman awam berada di tahap terbaik dalam tempoh tersebut.

Sementara itu, Noor Rashid dalam ucapannya berkata polis kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk memastikan proses pilihan raya berjalan dalam keadaan aman dan selamat.

Beliau berkata setiap petugas PDRM juga telah diingatkan agar sentiasa berhemah dan profesional dalam menjalankan tugas demi mengelakkan sebarang implikasi yang mampu mencalarkan kredibiliti pasukan dan imej kerajaan.

Noor Rashid juga berharap masyarakat dan parti yang bertanding supaya mematuhi semua arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan menjauhi segala tindakan yang boleh menganggu gugat ketenteraman awam sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung. – WD MY