KUALA LUMPUR, 25 Feb – Ketepikan…… Seluruh rakyat diminta mengetepikan sebarang unsur
negatif yang terhasil daripada perbezaan pendapat berikutan kepelbagaian agama
dan kaum bagi memastikan usaha memartabatkan Malaysia sebagai 20 negara terbaik
di dunia tercapai menerusi dasar baharu Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebaliknya
rakyat Malaysia perlu memiliki hanya “satu pemikiran” dalam usaha membentuk
Malaysia sebagai negara yang menjadi contoh serta diiktiraf di peringkat dunia.

“Kita ketepikan perbezaan… kita mahu membentuk negara sebagai negara
‘mithali’, negara contoh. Dalam kepelbagaian, ada satu pemikiran dan diiktiraf
dunia, ini hasrat kita Insya-Allah,” katanya dalam program “Dialog Perdana TN50
Perspektif Islam”.

Dialog secara santai bersama lebih 1,000 belia yang kebanyakannya
pemimpin persatuan mahasiswa Islam institusi pengajian tinggi awam dan swasta
itu diadakan di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),
Nilai, Negeri Sembilan pada Isnin lalu.
Pada dialog itu yang dipengerusikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, beberapa isu utama dibincangkan, iaitu
pendidikan, ekonomi, institusi agama, politik, perpaduan kaum dan ekstremis
agama.

Mengenai komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan agama Islam di negara ini
menjelang 2050, timbalan perdana menteri berkata pelbagai usaha telah dilakukan
kerajaan seperti pelaksanaan konsep wasatiyyah dan perbankan Islam.

Beliau berkata kerajaan berterusan memastikan pendidikan Islam ini
terpelihara melalui pembiayaan kepada 42,681 Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain
(KAFA) serta 72 Sekolah Menengah Agama dan 332 Sekolah Agama Negeri.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kementeriannya juga
berjaya memulihkan 87.5 peratus individu yang terlibat secara langsung dengan
kumpulan ekstremis menerusi program deradikalisasi yang turut dikongsi bersama
negara lain.
Beliau berkata demi merealisasikan TN50, umat Islam di negara ini seharusnya
menjadi peserta dan bukan hanya penonton dalam semua aspek berkenaan.
“Kita sebagai ummah tidak boleh ketinggalan, apabila Malaysia termasuk dalam
‘top 20 nation’ kita bukan berada dalam kedudukan penonton tapi sebagai
peserta,” katanya. – WD MY