KUALA LUMPUR, 20 Mei – Daftar…… Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua Institusi Tahfiz supaya membuat pendaftaran dengan pihak berkuasa negeri bagi menjamin kebajikan pelajar mereka.

“Saya menyeru mana-mana Institusi Tahfiz yang belum daftar, berdaftarlah dengan kerajaan negeri masing-masing.

“Bukan kerajaan atau Majlis Agama Islam Negeri mahu mengawal tanpa mengikut piawaian tertentu tetapi mahu menjaga kebajikan anak kita supaya lebih terjamin,” katanya pada majlis perasmian Perhimpunan 30,000 Huffaz di Masjid Wilayah.

Hingga April lalu, 519 buah Institusi Tahfiz berdaftar dengan Jabatan Agama Islam di seluruh negara.

Beliau menyasarkan dalam tempoh 30 tahun akan datang seramai 125,000 huffaz dapat dilahirkan.

“Saya berharap untuk 30 tahun akan datang ada dalam kalangan huffaz yang menjadi Perdana Menteri dan memimpin negara,” katanya.

Majlis anjuran Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) itu turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – WD MY