BAGAN DATUK, 1 Mei — KEMPN…….. Mungkin agak jarang kedengaran Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bertutur fasih bahasa Jawa terutama menghadiri program rasmi.

Namun apabila Timbalan Perdana Menteri pulang ke kawasan, beliau bukan sahaja berucap dalam bahasa Melayu bahkan tidak kekok bila bercakap dalam bahasa Jawa, lebih-lebih lagi bila menghadiri apa-apa program yang melibatkan kehadiran masyarakat keturunan Melayu-Jawa.

Begitulah keunikan pemimpin tempatan itu yang mampu menyantuni dengan bertutur secara berseloroh yakni mengurangkan rasa jurang perbezaan dan membina ikatan keakraban antara pemimpin dengan penduduk tempatan.

Ahmad Zahid, 65, yang berdarah keturunan Jawa, akan mempertahankan Parlimen Bagan Datuk untuk penggal kenam pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini, dan ajan berdepan pertandingan tigap enjuru iaitu calon PKR, Pakhrurrazi Arshad dan Ata Abdul Muneim Hasan Adli (PAS).

Beliau menghadiri beberapa program termasuk ramah mesra penduduk dan petugas Jalinan Rakyat (JR) program Kenduri Sekampung di Kampung Badri di Hutan Melintang.

Ucapan Ahmad Zahid di program itu boleh dikatakan mengguna kira-kira 50 peratus bahasa Jawa diselang seli dengan bahasa Melayu.

“Tengok, mereka (media) bukan faham apa yang kita cakap. Biarkan. Ini untuk kita.

“Yang penting kita faham,” kata Ahmad Zahid sambil disambut dengan sorakan dan tepukan masyarakat setempat yang hadir.

Turut hadir calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi.

Selain itu, ucapannya yang sering diulangi Ahmad Zahid ialah berjanji akan menyerahkan wang peruntukannya sebagai Anggota Parlimen sebanyak RM6 juta setahun yang dibahagikan sama rata kepada DUN Hutan Melintang dan DUN Rungkup jika kedua-dua kerusi itu dimenangi Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

Jelas beliau, ia sebagai tanda penghargaannya kepada penduduk Bagan Datuk yang terus memberi kepercayaan kepada BN untuk terus berkuasa di situ di mana peruntukan tersebut akan diberikannya dalam tempoh lima tahun, yakni masing-masing akan memperolehi peruntukan RM15 juta.

“Kalau Datuk Khairuddin Tarmizi menang di DUN Hutan Melintang, mesti ramai bertanya, apa yang akan cawangan dan komuniti rakyat India, Cina dan Melayu di situ akan dapat.

“Jangan risau, saya akan bagi peruntukan yang Parlimen Bagan Datuk dapat daripada perdana menteri untuk Hutan Melintang begitu juga DUN Rungkup. Jadi bolehlah mereka gunakannya untuk bantu rakyat,” katanya.

Parlimen Bagan Datuk mempunyai 47,215 pengundi berdaftar terdiri daripada 27,997 pengundi Melayu (59.30%); 8,389 Cina (17.77%) dan 10,114 India (21.42%).