PUTRAJAYA, 3 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilantik ke jawatan itu Selasa lalu, memulakan hari pertamanya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, pagi ini.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri memasuki pejabat Timbalan Perdana Menteri di Blok Barat, JPM kira-kira jam 8.30 pagi sebaik saja tamat Perhimpunan Bulanan JPM di Perdana Putra di sini.

Beliau mengimbas kadnya pada mesin perakam waktu dan disambut kira-kira 10 pegawainya, diikuti dengan majlis bacaan doa.

Terdahulu, Ahmad Zahid Hamidi menerima watikah pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Perdana Putra di sini.

Beliau dilantik menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam rombakan Kabinet yang diumumkan perdana menteri pada 28 Julai lalu.

Sejurus menerima watikah pelantikan, Ahmad Zahid diiringi Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menuju ke pejabat Timbalan Perdana Menteri bagi memulakan tugas.- Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY